Ibu Menteri Besar Kedah meninggal dunia
ALOR SETAR - Ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),di sini, pada Khamis.
Perkara terbabit disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim melalui pesanan WhatsApp kepada pemberita.
"Al-Fatihah. Bonda Menteri Besar Kedah, Meriam Ahmad, telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 9.40 pagi di HSB," katanya.
Urusan pengebumian dan solat jenazah dijangka akan dilakukan pada petang Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Allahyarham sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sejak Isnin.
Meriam Ahmad, 74, ditidurkan sejak Isnin dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya, di Sik.
Muhammad Sanusi ketika dihubungi memaklumkan, ibunya dibawa ke Hospital Sik untuk pemeriksaan awal sebelum doktor memutuskan untuk memindahkan Meriam ke HSB pada hari sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!