Sabah ambil langkah berjaga-jaga, pantau pelancong dari China
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah mengambil langkah berjaga-jaga dalam memantau kemasukan pelancong China ke negeri ini bagi mengelakkan penyakit koronavirus, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan memantau semua pelancong dari China ke Sabah selain dari wilayah Wuhan.
“Kita tidak hanya memantau pelancong yang menaiki penerbangan dari Wuhan dan Hubei sahaja malah kita akan memantau kesemua pelancong dari China yang datang ke sini. Sekiranya mereka menunjukkan simptom dijangkiti koronavirus, kita akan terus mengambil langkah secepat mungkin untuk menghantar mereka ke Hospital Queen Elizabeth.
“Pada masa yang sama, sistem pemeriksaan bagi mengesan virus ini juga harus dipertingkatkan lagi selain menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mencuci tangan dan memakai penutup mulut dan hidung,” katanya selepas merasmikan Pesta Ang Pao anjuran Federation of Chinese Associations Sabah bertempat di sini malam tadi.
Pada masa yang sama, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sedang menjejaki tempat yang dikunjungi pelancong 71 tahun yang dikesan mempunyai simptom koronavirus.
“Menerusi taklimat oleh Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, pihaknya cuba mengesan tempat yang dikunjungi pelancong lelaki dari Wuhan itu, yang melancong ke Sabah dari 19 hingga 25 Januari lepas.
"Turut difahamkan, pelancong terbabit bergerak di dalam kumpulannya namun dia sahaja yang dikesan mempunyai simptom Koronavirus,” katanya.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan pelancong berusia 71 tahun itu berada di Sabah selama enam hari dan lima malam untuk melancong melalui ejen pelancongan.
Pada 25 Januari, kesemua 31 penumpang bersama kru pesawat Malindo Air (OD688) dari Kota Kinabalu-Tianjin, China ditahan dan dikuarantin di sebuah hotel di Dongli, Tianjin setelah tiga penumpang termasuk lelaki berusia 71 itu mengalami demam panas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!