Simbah cat, budak suruhan along didenda RM3,000
MANJUNG - Seorang pembantu kedai runcit didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Khamis selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyimbah cat terhadap harta milik peminjam wang, Januari lalu.
Fo Siew How, 29, yang bersubahat dengan sindiket along membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu dengan niat melakukan khianat menyimbah cat sehingga menyebabkan kerosakan pada pagar rumah, dinding dan lantai halaman rumah serta pasu bunga sehingga mengakibatkan kerugian RM2,000.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Baru, Ayer Tawar dalam daerah Manjung kira-kira jam 2.50 pada 24 Januari 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Shaqira Ibrahim.
Tangkapan terhadap tertuduh dilakukan pada 3 Ogos lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
Berdasarkan fakta kes, selain menyimbah cat merah, tertuduh turut meninggalkan dua nota amaran meminta mangsa menjelaskan hutang pinjaman dengan along.
Semakan polis dengan pihak Touch N Go dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh datang ke Manjung pada 24 Januari lalu dengan menaiki kereta jenis Proton Saga melalui Plaza Tol Lekir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!