Bayi masih bertali pusat ditemui dalam besen berhampiran tong sampah
IPOH - Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam sebuah besen diletakkan berhampiran tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, bayi malang tersebut ditemui dua lelaki selepas mendengar tangisan ketika melalui jalan tersebut kira-kira jam 4.50 petang.
Menurutnya, lelaki berkenaan kemudiannya membawa bayi tersebut ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum laporan polis dibuat.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi tersebut merupakan kawasan Pekan Titi Serong dan berhampiran jalan utama.
"Terdapat dua tong sampah hijau diletakkan di bahu jalan dan bayi yang dijumpai diletakkan di belakang tong sampah tersebut.
"Berdasarkan penelitian, bayi tersebut dipercayai dalam keadaan tidak sihat dengan berat 2.1kg.
"Terdapat kesan kuning pada dahi bayi tersebut dan tangan kecut mungkin disebabkan kesejukan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.
Azizi berkata, bayi tersebut telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan status sebenar kesihatan bayi berkenaan belum dapat dipastikan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, siasatan sedang dijalankan dengan meneliti rakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai-kedai berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak polis akan turut merakam percakapan saksi-saksi dan melancarkan pengesanan melalui kaedah-kaedah saintifik genetik untuk menentukan pemilik bayi tersebut.
Azizi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!