'Azizulhasni pejuang sejati' - Shah Firdaus
MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom mengimbas jiwa kental jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang disifatkan sebagai pejuang sejati yang tidak mengenal erti putus asa dan jauh sekali mengalah.
Pelumba berusia 28 tahun dari Johor itu mengakui banyak kejayaan yang sudah dilakar oleh rakan seperjuangannya itu yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman di pentas antarabangsa.
Malah Shah Firdaus menjadikan Azizulhasni sebagai idola dan tauladan yang wajar dicontohi para atlet negara.
"Tiada apa lagi yang harus dihujahkan tentang kejayaan dan sumbangan beliau (Azizulhasni). Tak dapat digambarkan perasaan saya tentang apa yang berlaku mengenai sosok ini.
"Perjalanan kami di arena yang sama meletakkan saya di posisi sebagai saksi yang melihat dengan mata kepala sendiri dan merasa dengan hati.
"Segala perjuangan dan pengorbanan beliau memerah keringat setiap hari demi sukan yang dicintai dan bagi merealisasikan impian Malaysia.
"Menjadi pembuka laluan dan menyuntik kepercayaan kepada kami yang di bawah dan menjadi pegangan penting bahawa kita mampu mencabar dunia.
"Beliau akan tampil ke hadapan dan menjadi tonggak harapan negara. Memimpin perjuangan di medan perang," catat beliau menerusi Facebook.
Shah Firdaus turut menanam tekad untuk bergerak ke hadapan dengan menjadikan Sukan Olimpik 2024 di Paris sebagai batu lonjatan untuk menawan dunia.
"Olimpik Paris 2024 telah pun melabuhkan tirai. Ini masa untuk mara ke depan, rehat dan reset," katanya.
Di sebalik momen indah dan kenangan pahit tersebut, Shah Firdaus sedar setiap yang bermula pasti akan menemui jalan penamat dan bersedia untuk meneruskan legasi Azizulhasni di pentas dunia.
"Menjadi resam dunia, pasti nanti panji perjuangan akan diserah juga kepada yang seterusnya dan lambat laun akan tiba jua giliran saya.
"Setelah bertahun-tahun bersama, boleh dikatakan saya cukup kenal dengan jiwa besar ini. Mempunyai hati yang tidak mudah mengalah. Selagi tidak dapat, pasti akan terus mencuba.
"Meskipun begitu, beliau lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Saya doakan yang terbaik, nikmati masa berharga anda.
"Velodrom Nasional sentiasa terbuka dan menanti kehadiranmu satu-satunya legenda, Azizulhani Awang," catat beliau.
Impian emas Azizulhasni terhenti pada pusingan awal acara keirin setelah penyertaannya dibatalkan gara-gara memintas pacer ketika menuju garisan permulaan.
Shah Firdaus pula berdepan insiden malang apabila terlibat pelanggaran dengan pelumba Jepun Shinji Nakano dalam aksi akhir keirin yang menyaksinnya terpaksa berpuas hati di tempat keenam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!