Hanya 16,000 daftar BUDI Agri-Komoditi setakat ini
GUA MUSANG - Kementerian Perladangan dan Komoditi mendedahkan hanya 16,000 daripada 210,520 pekebun kecil di semenanjung Malaysia yang layak memohon BUDI Agri-Komoditi mendaftar setakat 13 Ogos lalu.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kegagalan berbuat demikian disebabkan oleh ketiadaan kemudahan internet, komputer selain tidak tahu cara memohon bantuan itu secara dalam talian.
"Melihat situasi itu, seluruh agensi dibawah kementerian seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) turun ke bawah untuk membantu mereka mendaftar.
"Siapa daftar, kita akan hantar ke Kementerian Kewangan (MOF) dan mereka (MOF) tidak boleh tolak permohonan itu sebab kita sudah semak kelayakan mereka," katanya semasa hadir merasmikan Taklimat dan Pendaftaran Budi Agri-Komoditi (Sektor Perladangan) di Rantau Manis di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi hebahan bagi memastikan pekebun mendapat hak mereka yang disediakan oleh kerajaan.
Ujarnya, jika pekebun tidak berkesempatan mereka boleh datang ke pejabat agensi berkenaan untuk membuat pendaftaran.
Johari memberitahu, pihaknya tidak menetapkan sasaran pendaftaran kerana ia tanggungjawab pekebun.
"Kalau mereka (pekebun) kata tak nak, tak kan kita nak paksa. Namun sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab memastikan mereka dapat maklumat yang lengkap.
"Bila dapat maklumat lengkap, jika mereka tak nak bermakna mereka tidak perlu," katanya.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu memberitahu, BUDI Madani merupakan wadah kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi bahan api disasarkan dengan lebih tepat kepada golongan sasar yang berkelayakan.
Ujar beliau, melalui BUDI Madani subsidi diberikan kepada kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu serta bantuan tunai kepada individu secara lebih bersasar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!