Terima kasih atas segalanya Tek

Wojciech Szczesny. Foto Agensi
Wojciech Szczesny. Foto Agensi
A
A
A

PENJAGA gol Poland, Wojciech Szczesny meninggalkan Juventus selepas mencapai persetujuan bersama menamatkan kontraknya dengan kelab Serie A Itali tersebut.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang menghabiskan tujuh musim di Turin, mempunyai baki setahun bersama The Old Lady.

Szczesny yang mencipta nama bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dengan 132 penampilan dikaitkan media Itali dengan kelab Serie A Monza dan Al-Nassr (Liga Saudi Pro Liga).

“Dalam sekelip mata, Tek menakluki penyokong-penyokong Juventus serata dunia dan kami pasti sentiasa membawa dia dalam hati sebagai pemain profesional yang menyarung jersi kami.

“Terima kasih atas segalanya Tek dan semoga berjaya untuk masa hadapan,” kata Juventus terhadap pemain yang mempunyai 84 penampilan bersama Poland.

Szczesny memulakan kerjayanya di Arsenal, menyertai kelab itu pada usia 15 tahun pada 2006, sebelum menandatangani kontrak dengan Juventus pada 2017 setelah menjalani tempoh pinjaman di Brentford dan AS Roma.

Di Juventus, dia membuat 252 penampilan yang membolehkannya merangkul tiga kejuaraan Serie A dan tiga Piala Itali.

Pada Julai, Juventus menandatangani penjaga gol Michele Di Gregorio dari Monza untuk memperkuatkan benteng kelab berpangkalan di Stadium Allianz, Turin itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!