Masjid Tahfiz Al-Ayubi RM13.7 juta kompleks pertama dibina di Pulau Buih
PASIR MAS - Masjid Tahfiz Al-Ayubi di Pulau Buih, Kangkon di sini yang bernilai RM13.7 juta menjadi kompleks pertama dibina di kawasan mukim itu.
Pengerusi Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Zulta Ayub Daud, berkata, pembinaan kompleks tersebut dirancang pada Jun 2006 dan masih dalam pembinaan.
“Keseluruhan kos yang diperlukan untuk menyiapkan kompleks ini ialah RM13.7 juta dan jumlah dana terkumpul belum mencukupi.
“Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada Mac 2023 dan diteruskan untuk menyiapkan kompleks masjid tahfiz ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, kompleks berkeluasan 3,882 meter persegi itu mampu memuatkan 600 jemaah pada satu-satu masa apabila siap kelak.
Katanya, pihak pengurusan masjid tahfiz tersebut baru menerima dana infak sebanyak RM1.4 juta untuk proses pembinaannya.
“Antara yang akan dibina ialah sebuah masjid, kuarters, parkir, tandas, padang dan dataran.
“Selain itu, kompleks ini akan dilengkapi dewan makan, dewan terbuka dan sistem pendawaian elektrik, pembesar suara serta tempat wuduk,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam Masjid Tahfiz Al-Ayubi 03120010014936 atau menghubungi Zulta di talian 012-9519426.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!