PRK Mahkota: Ahmad Zahid tak perlu terburu-buru buat keputusan

Mohd Zuhan
Mohd Zuhan
A
A
A

KLUANG - Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang mempertikaikan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota adalah dari Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pihaknya belum berbincang mengenai calon bagi PRK berkenaan.

Menurutnya, ketika ini mereka hanya fokus kepada PRK Nenggiri.

“Sebagai pemimpin kecil yang disebut oleh Presiden UMNO, saya nasihatkan agar beliau fokus kepada PRK Nenggiri buat masa ini.

"Kami juga tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas Mohamad selaku Presiden Amanah menasihatkan agar tidak dibincangkan melalui media.

“Namun begitu, saya ingin komen sikit sahaja berkaitan dengan kenyataan Ahmad Zahid iaitu sah calon BN di DUN Mahkota. Beliau tidak perlu terburu-buru membuat keputusan sendiri.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

“Bincang pun belum macam mana sudah ada keputusan? Kami tegas dengan pendirian kami iaitu bersedia untuk bertanding di DUN Mahkota sehingga keputusan pucuk pimpinan dibuat. Beliau menyatakan kami tuntut kerusi BN, kenyataan itu tidak tepat kerana di Johor belum ada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zuhan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang mengatakan bahawa BN akan bertanding pda PRK DUN Mahkota yang dijadualkan berlangsung pada 28 September depan.

Untuk rekod, kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Syarifah Azizah Syed Zain, 2 Ogos lalu.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah menang kerusi DUN Mahkota mewakili BN dengan 16,611 undi dan majoriti 5,166.

Sementara itu, Mohd Zuhan berkata, Ahmad Zahid seharusnya segera menasihatkan Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi UMNO Johor agar mengumpulkan pucuk pimpinan PH dan BN bagi membincangkan isu ini segera dengan memberikan fokus kepada isu Kerajaan Perpaduan di Johor secara tuntas dan kemudian membuat keputusan siapakah calon bagi DUN Mahkota.

“Dalam kenyataan awal saya, saya sudah tegaskan bahawa Johor bukan Kerajaan Perpaduan. Kami hanya berkawan dan duduk secara harmoni di dalam rumah yang berlainan.

“Selain itu, saya menyeru agar pucuk pimpinan duduk bersama berbincang bukannya melatah. Buat apa melatah, kami pemimpin kecil dari kawasan sahaja. Suara saya adalah suara akar umbi Amanah Kluang.

“Saya juga berpesan agar semua pemimpin yang ingin memberi maklum balas mengenai tuntutan DUN Mahkota ini agar baca dan dengar sepenuhnya apa yang kami sebut.

"Bukan baca dan dengar separuh kemudian respon kerana semua pimpinan harus lebih bijak agar Perikatan Nasional (PN) tidak mengambil kesempatan ke atas isu dalaman kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!