Suri rumah dilaporkan hilang, ditemui mati dengan kesan jerutan di leher

Maklumat kehilangan mangsa yang disebarkan di media sosial pada Rabu. Gambar kecil: Wan Mohd Zahari
Maklumat kehilangan mangsa yang disebarkan di media sosial pada Rabu. Gambar kecil: Wan Mohd Zahari
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia disyaki dibunuh dalam bilik tidur rumahnya di Indera Mahkota di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat wanita berusia 28 tahun itu ditemui ibu mentuanya kira-kira jam 7.30 petang.

Menurutnya, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama suami yang merupakan warga China, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuannya.

"Pihak polis menerima laporan kehilangan mangsa oleh bapanya berusia 62 tahun (pengadu) kira-kira jam 3.25 petang pada Rabu.

"Bapa mangsa yang bekerja sebagai peniaga mendakwa gagal menghubungi anak ketiganya itu selepas kali terakhir mereka berhubung melalui pesanan WhatsApp jam 8.30 pagi hari yang sama," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kira-kira jam 7.30 petang, pengadu dihubungi suami mangsa memaklumkan mangsa ditemui tidak sedarkan dalam bilik tidur dengan kesan jerutan pada leher.

Beliau berkata, mayat suri rumah itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Susulan penemuan mayat wanita itu, polis telah menahan empat ahli keluarga termasuk suami, bapa, bapa dan ibu mentuanya berusia 27 hingga 62 tahun untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Semua yang ditahan akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Kejadian itu sebelum ini tular selepas maklumat kehilangan mangsa dikongsi di sebuah akaun Facebook untuk mengesan mangsa.

Maklumat itu kemudiannya dikemas kini memaklumkan mangsa telah ditemui meninggal dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!