Pimpinan PH, BN perlu duduk semeja harmonikan politik di Johor

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor perlu segera duduk di meja perundingan atau musyawarah dengan mengenepikan ego politik masing-masing demi keharmonian politik di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, Menteri Besar yang juga Pengerusi UMNO dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi perlu segera memulakan langkah positif tersebut atas nama kepentingan 4.1 juta rakyat Johor.

Dzulkefly berkata, pihaknya terpanggil untuk membuat kenyataan setelah mengikuti rapat kenyataan beberapa pimpinan BN atau PH ekoran sidang akhbar Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain pada 5 Ogos lalu berhubung isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Isu pokok dalam sidang akhbar oleh Dr Mohd Zuhan adalah berdasarkan realiti di negeri Johor tidak wujud Kerajaan Perpaduan sepertimana di Putrajaya serta negeri-negeri lain di mana Menteri Besarnya juga adalah daripada UMNO/BN.

"Ini terbukti tidak ada seorang pun Exco Kerajaan Johor daripada PH kerana kesemua 11 Exco adalah daripada UMNO/BN, bahkan 12 ADUN PH dikenali sebagai ‘pengimbang’ bagi memurnikan istilah pembangkang dalam Dewan Negeri Johor. Kesemua ahli majlis serta ketua kampung atau ketua masyarakat adalah lantikan daripada UMNO/BN dan implikasi isu pokok ini sangat besar dalam membentuk landskap politik negeri Johor sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Dzulkefly, apabila tidak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor, maka ‘Prinsip Parti Penyandang’ atau ‘Principle of Incumbency’ tidak terpakai kepada 56 kerusi DUN di Johor atau dengan kata lain, 56 kerusi DUN di Johor tidak menjadi hak atau milik kepada mana-mana parti sama ada PH atau BN dan masing-masing bebas bertanding di mana-mana kerusi, tambahan PH adalah berstatus ‘pembangkang’ di Johor.

“Ada pimpinan tertinggi PH atau BN yang beranggapan kerajaan Johor adalah Kerajaan Perpaduan sedangkan realitinya kerajaan Johor adalah kerajaan UMNO/BN. Apabila ini berlaku maka tidak ada ‘sense of urgency’ atau usaha yang kuat bagi memperbetulkan keadaan ini kerana dengan alasan kerajaan UMNO/BN di Johor ditubuhkan lebih awal daripada Kerajaan Perpaduan Madani di Putrajaya.

"Persoalannya bagaimana pula kerajaan UMNO/BN Melaka yang juga dibentuk lebih awal daripada kerajaan UMNO/BN di Johor dan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya tetapi telah berlapang dada untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Melaka selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya?” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dzulkefly berkata, ketiadaan Kerajaan Perpaduan di negeri Johor juga mewujudkan keadaan yang tidak kondusif bagi ahli-ahli Parlimen PH Johor bagi mengadakan kerjasama dengan ADUN-ADUN BN di bawah kawasan Parlimen mereka.

Malah katanya, keadaan ini juga dilihat akan membawa kesukaran bagi mewujudkan kerjasama di peringkat akar umbi antara parti-parti dalam BN dan PH.

Tambah beliau, keadaan atau suasana sebegini tidak membawa kesan yang positif, walaupun jika berlaku kerjasama BN dan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita perlu mengambil ibrah politik negeri Sabah bila tiada usaha yang tuntas dilakukan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berpanjangan maka akhirnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah negeri berkenaan dalam keadaan Warisan dan UMNO/BN menjadi pembangkang.

“Ketiga-tiga parti sebelumnya merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan Madani di Putrajaya.

“Apa pun, dalam politik, tidak ada istilah terlewat kerana 'It’s better late than never',” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!