[VIDEO] Amanah beri laluan parti penyandang bertanding PRK

A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada parti penyandang di kerusi yang dipertandingkan dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK).

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendirian itu berdasarkan kepada amalan gabungan Kerajaan Perpaduan dalam enam PRK yang dihadapi sepanjang tempoh penggal Parlimen ke-15 ini.

Bagaimanapun katanya, pendirian tersebut bukanlah muktamad kerana Amanah bersedia untuk bertanding dalam mana-mana PRK jika dipersetujui bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Mohamad
Mohamad

"Sungguhpun begitu, isu pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih belum dibincangkan dan diputuskan badan tertinggi gabungan Perpaduan.

"Justeru, kami akan terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen Perpaduan untuk mencapai kemenangan dalam PRU16," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, wujud pergeseran antara Amanah dan UMNO selepas kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan itu menuntut untuk bertanding pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing pada 14 dan 24 September.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK kerana mengalami sesak nafas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!