Pesara rugi RM276,900 diperdaya scammer
KUANTAN - Seorang wanita warga emas kerugian RM276,900 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa berusia 64 tahun yang juga pesara kerajaan dihubungi suspek menyamar sebagai pegawai SKMM pada 16 Julai lalu.
Menurutnya, melalui panggilan itu mangsa diberitahu dia dikehendaki kerana terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.
"Panggilan seterusnya disambung kepada pegawai polis untuk proses siasatan dan tindakan selanjutnya.
"Dalam tempoh 16 hingga 29 Julai lalu, mangsa telah diarahkan suspek untuk membuat transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank berlainan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM)," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Noor Hisam berkata, untuk tujuan itu mangsa terpaksa menggunakan wang hasil simpanan sendiri dan suami termasuk wang simpanan ASB serta Tabung Haji bagi mengelak dikenakan tindakan.
"Selepas menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Kuantan," katanya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.
"Sebaiknya, buat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan terlebih dahulu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!