Kes bunuh Cikgu Istiqomah: Polis Melaka giat kumpul bukti
SHAH ALAM - Polis Melaka sedang giat mengumpulkan bukti bagi memastikan siasatan kes pembunuhan kejam guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dapat berjalan dengan baik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setiap hari polis menerima penemuan baharu dan kini sedang mencari keterangan lain bagi membantu siasatan kes.
Menurutnya, setakat ini polis sudah mengambil telefon, barangan lain termasuk pakaian dan saksi untuk membantu siasatan.
"Pihak polis Melaka masih bertungkus-lumus untuk menentukan satu siasatan yang baik bagi kes ini," katanya ketika menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Inspektor Kor SUKSIS UiTM Kali Kesembilan di UiTM Shah Alam pada Khamis.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira jam 2 petang.
Selepas kira-kira lapan bulan berlalu, Isnin lepas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, seorang guru yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.
Susulan itu, Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!