AADK sedia hadapi cabaran selepas RUU Akta Penagih Dadah 2024 diwartakan
GUA MUSANG - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sudah bersiap sedia dalam segala aspek sejurus Rang Undang-Undang Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 diwartakan kelak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tanggungjawab AADK bakal menjadi semakin besar selepas ini.
"AADK telah bersiap sedia dari segi kepakaran pegawai pemulihan dan juga setiap tempat sama ada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) atau komuniti, malah keupayaan pegawai kita dari segi kaedah rawatan terbukti berjaya.
"Dari semasa ke semasa, kita juga sering menambah baik dan meningkatkan keupayaan kita kerana kita tahu cabaran di masa hadapan akan menjadi lebih besar,” katanya kepada pemberita pada Program Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Klien dan Keluarga AADK Daerah Gua Musang di sini hari ini
Pada 18 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu pindaan akta itu selepas kali terakhir dipinda pada 20 tahun lepas.
Rang Undang-Undang (RUU) itu antara lain akan memberi kuasa kepada AADK untuk memperakukan rawatan dan pemulihan penagih dadah secara sukarela selain daripada pegawai perubatan
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, menerusi RUU pegawai pemulihan AADK diberi kuasa memberi perakuan setelah melakukan verifikasi terhadap klien yang datang secara sukarela untuk menerima rawatan dan pemulihan.
"Kalau sebelum ini satu sahaja (perakuan daripada) pegawai perubatan. Sekarang pegawai pemulihan boleh memperakukan setelah melakukan proses verifikasi," katanya.
Shamsul Anuar berkata, RUU itu juga sebagai satu usaha bagi membolehkan sasaran menurunkan kadar penagih dadah tidak melebihi 400 bagi setiap 100,000 penduduk dan meningkatkan kepulihan penagih hingga 80 peratus menjelang 2025 dapat dicapai.
"Kalau kita lihat dalam RUU ini, kita nyah jenayah penagih kita daripada mengenakan hukuman kepada proses rawatan dan pemulihan, namun saya nak beri tahu kepada masyarakat, kita masih kekalkan Akta Dadah Berbahaya (1952).
"Mana-mana mereka yang membuat kesalahan dalam aspek itu tetap akan diberikan hukuman,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, dengan adanya rawatan pemulihan berkenaan secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat menjadikan AADK sebagai ‘rakan dan sahabat’ dalam usaha membantu mereka pulih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!