Pembangunan pusat data: Johor akan masukkan syarat guna air kitar semula, hujan

Ting Han
Ting Han
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan memperkenalkan syarat baharu berkenaan penggunaan air hujan, kitar semula dan teknologi baharu bagi pembangunan pusat data di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, syarat baharu tersebut bagi mengelakkan penggunaan air dan tenaga domestik tempatan di negeri ini terjejas.

"Pusat data di Johor terus berkembang pesat dan berterusan sehingga 2028. Kita akui pusat data gunakan air dan tenaga yang banyak.

"Namun Johor telah merangka dan memperkenalkan garis panduan khas sejak April 2024 menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Johor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Invest Johor 2024 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini, pada Khamis.

Onn Hafiz berkata, syarikat operator air negeri, Ranhill SAJ Sdn Bhd juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air supaya perkembangan pusat data di Johor tidak menjejaskan penggunaan domestik di negeri ini.

Julai lalu, Onn Hafiz berkata, Johor berjaya menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lepas dengan Sedenak Tech Park (STeP) sahaja mempunyai kapasiti lebih satu gigawatt (GW).

Pada Jun, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia@Johor) merangka Garis Panduan Perancangan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor bagi menyelaras serta memantau perancangan pembangunan pusat data.

Artikel Berkaitan:

Ting Han menerusi hantaran di Facebook berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai panduan dan rujukan yang seragam kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi terlibat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!