Warga emas terlibat 10 kes kecurian dalam kenderaan ditahan
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas ditahan kerana disyaki terlibat dengan 10 kes kecurian dalam kenderaan di sekitar Sentul di sini sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan terdapat barangan dalam keretanya yang diparkir di Jalan Ipoh di sini, dicuri pada 9.30 malam, 3 Ogos lalu.
"Susulan laporan itu, kita menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun pada 7 Ogos lalu.
"Polis turut merampas telefon bimbit, komputer riba dan pakaian dipercayai digunakan ketika kejadian. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Khamis.
Ahmad Sukarno berkata, modus operandi lelaki terbabit adalah menyasarkan kenderaan secara rambang yang tidak dikunci di sekitar Sentul sebelum mengambil barangan di dalam kenderaan berkenaan.
"Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah. Suspek direman sehingga esok (Jumaat) untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!