Bursa Malaysia: Indeks patuh syariah atasi prestasi rakan bukan syariah
INDEKS Syariah FTSE4Good Bursa Malaysia dan Indeks Syariah EMAS FTSE Bursa Malaysia mengatasi sedikit prestasi rakan indeks bukan patut syariah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, menurut Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Muhammad Umar Swift berkata, pencapaian ini mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur dalam syarikat yang mengutamakan amalan kemampanan dan beretika, yang menyerlahkan daya tahan kewangan serta tarikan terhadap pelaburan patuh syariah.
Mengenai metrik utama sekuriti patuh syariah bagi separuh pertama 2024, beliau berkata pada akhir Jun, sebanyak 833 daripada 1,049 kaunter tersenarai di Bursa Malaysia, atau 79.4 peratus adalah patuh syariah.
"Permodalan pasaran sekuriti patuh syariah meningkat 19.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.3 trilion, menjadikan jumlah permodalan pasaran sebanyak 65.2 peratus.
"Purata nilai dagangan harian (ADV) bagi sekuriti patuh syariah melonjak 50.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2.1 bilion, kini mencakupi 65.3 peratus daripada jumlah ADV," katanya dalam ucapan alu-aluannya di persidangan Invest Shariah 2024 hari ini.
Beliau berkata, pada 7 Mei 2024, Bursa Malaysia mencapai kejayaan bersejarah dengan melepasi permodalan pasaran sebanyak RM2 trilion.
Pasaran modal bursa tempatan menarik minat yang ketara, membawa kepada peningkatan penyertaan daripada pelabur domestik dan asing, terutamanya didorong oleh penyusunan semula ekonomi dan pembaharuan fiskal yang berkesan oleh kerajaan, katanya.
FBM KLCI pula kekal berdaya tahan, secara konsisten berada pada paras sokongan 1,600 mata, meskipun terdapat kebimbangan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kemerosotan indeks pasaran ekuiti global, katanya.
Sehingga penghujung 2023, aset kewangan Islam Malaysia berjumlah RM3.8 trilion, meletakkan negara dalam kalangan tiga teratas di dunia.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti, dalam pasaran modal Malaysia, Pasaran Modal Islam berjumlah RM2.4 trilion pada 2023, mewakili 64 peratus daripada jumlah pasaran modal negara.
"Kami berada pada situasi yang penting dalam kewangan, dengan prinsip tatakelakuan beretika, keterangkuman kewangan dan pendekatan didorong pihak berkepentingan menjadi semakin penting.
"Pengenalan Panduan Maqasid al-Syariah untuk Pasaran Modal Islam baru-baru ini oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia adalah bukti peralihan ini," kata Muhammad Umar.
Beliau berkata, panduan ini menekankan kepentingan mewujudkan sistem kewangan yang adil yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi juga memastikan kemampanan untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS International Securities Malaysia Khairi Shahrin Arief Baki berpendapat bahawa pemulihan ringgit baru-baru ini berbanding dolar AS dan mata wang utama lain, ditambah dengan prestasi FBM KLCI tahun ini, menggambarkan keyakinan pelabur yang diperbaharui terhadap ekonomi negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!