Tular nasi goreng naik harga RM1.50, KPDN jumpa pihak restoran

Dua resit pembelian nasi goreng sardin yang tular.
Dua resit pembelian nasi goreng sardin yang tular.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengambil tindakan segera selepas tular nasi goreng sardin naik harga sebanyak RM1.50 dalam masa sehari.

KPDN WPKL dalam satu kenyataannya berkata, berdasarkan maklumat aduan membabitkan hantaran di media sosial sepasukan anggota telah digerakkan ke restoran terlibat pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan dibuat susulan dua resit pembelian nasi goreng sardin yang tular setelah dibeli dari sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri di sini.

Kata kenyataan itu, pihak penguat kuasa KPDN telah mengadakan perjumpaan bersama penyelia restoran untuk membantu siasatan mengenai maklumat harga seperti yang dilaporkan.

"Menerusi pemeriksaan tanda harga pada buku menu di restoran tersebut mendapati harga bagi nasi goreng sardin ialah RM9, manakala caj RM0.30 bagi bungkusan dinyatakan dengan jelas dalam menu untuk makluman pelanggan.

"Manakala untuk pesanan dan makan di restoran, tiada caj lain dikenakan kecuali harga makanan sahaja termasuk tambahan caj SST sebanyak enam peratus," kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat terhadap justifikasi perbezaan harga pada kedua-dua resit tersebut telah diserahkan kepada penyelia restoran untuk tindakan selanjutnya.

Menurut kenyataan itu, pihak restoran telah diberi amaran keras untuk sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak keliru, selain sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak restoran memohon maaf atas isu yang berlaku dan bersedia untuk menghubungi pengadu bagi membuat penjelasan atau sebarang perkara yang berbangkit," kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!