LTAT lantik Haizad Rizal sebagai Ketua Pegawai Kewangan baharu

Haizad Rizal
Haizad Rizal
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Kewangan di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Haizad Rizal sebagai Ketua Pegawai Kewangan yang baharu berkuat kuasa 15 Ogos 2024.

LTAT dalam satu kenyataan berkata, Haizad mempunyai lebih daripada 22 tahun pengalaman yang cemerlang dalam pengurusan kewangan dan kepimpinan strategik merentasi pelbagai industri.

Menurutnya, kerjaya cemerlang Haizad bermula di Ireland yang mana beliau telah berkhidmat selama satu dekad di organisasi-organisasi terkenal seperti BDO Simpson Xavier, Daiwa EuropeFund Managers dan KPMG.

"Haizad kembali semula ke Malaysia pada tahun 2009, mengambil alih peranan kepimpinan termasuk Ketua Laporan Statutori dan Pengurusan Kumpulan di RHB Bank Berhad, diikuti oleh Ketua Kewangan di RHB Islamic Bank.

"Beliau juga telah berkhidmat sebagai Naib Presiden di RHB Investment Bank Berhad sebelum memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Kumpulan Syarikat Johawaki pada tahun 2013.

"Selain itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Sime Darby Oils dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan d iKumpulan SME Bank dari tahun 2016 hingga 2024," ujarnya.

Tambah kenyataan itu, pengalaman Haizad yang luas telah dibuktikan melalui kelayakan akademiknya, termasuk menjadi ahli bersekutu (FCA) dari Institute of Chartered Accountants Ireland (ICAI).

"Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Perakaunan dan Kewangan dari Liverpool John Moores University dan telah menamatkan Program Pengurusan Lanjutan dan Kepimpinan di Said Business School, Universiti Oxford," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi memberitahu, pihaknya berbesar hati dengan pelantikan Haizad.

Katanya, pelantikan itu mencerminkan komitmen teguh LTAT terhadap pengurusan kewangan dan tadbir urus yang cemerlang.

"Kepakaran Haizad akan memainkan peranan penting dalam membawa LTAT ke arah tadbir urus operasi yang berintegriti dan juga kemajuan yang berterusan.

"Kami yakin bahawa kepimpinannya akan memperkukuh misi kami untuk memastikan pengurusan kewangan yang bijak, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri seperti yang dinyatakan semasa pelancaran Garis Panduan Pengurusan dan Tadbir Urus Badan Berkanun Persekutuan baru-baru ini.

“Kepimpinannya juga akan mengukuhkan komitmen kami terhadap kesejahteraan Angkatan Tentera Malaysia dan menyediakan perlindungan sosial secara menyeluruh kepada mereka yang berkhidmat demi negara,”jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!