Malaysia bincang kerjasama masuki pasaran Republik Tatarstan

Mohamad (kiri) ketika menerima kunjungan hormat Rustam di Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.
Mohamad (kiri) ketika menerima kunjungan hormat Rustam di Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memohon kerjasama pihak Republik Tatarstan bagi membekalkan maklumat mengenai keperluan import produk seperti sarang burung, makanan sejuk beku, barangan sedia ada untuk diminum dan sedia dimakan dari Malaysia untuk memasuki pasaran republik itu.

Perkara tersebut merupakan antara yang dibincangkan ketika kunjungan hormat Rais (Presiden) Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu di Wisma Tani, Putrajaya pada Selasa.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, turut dibincangkan adalah kerjasama dalam perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara, terutamanya mengenai eksport daging dan produk tenusu dari Rusia ke Malaysia serta proses penilaian risiko bagi akses pasaran produk pertanian yang baharu.

"Semasa pertemuan itu juga, Mohamad dan Rustam telah membincangkan potensi kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Malaysia dan Rusia, terutamanya Republik Tatarstan.

"Dalam hubungan ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengadakan perbincangan awal dengan Kazan State Agrarian University (KSAU) untuk meneroka peluang kerjasama.

"Ia melibatkan program penyelidikan serta pembangunan kapasiti dalam beberapa sektor seperti perubahan iklim, baja, pembiakan dan pengeluaran benih tanaman sayuran, kacang soya, pendigitalan, produk halal serta kejuruteraan genetik," jelasnya.

Lawatan Rustam itu merupakan kunjung balas kepada kunjungan hormat Mohamad ke atas beliau semasa Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-14 atau KazanForum 2023 yang diadakan di republik tersebut pada Mei tahun lalu.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad, pegawai kanan KPKM dan jabatan serta agensi di bawah kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, di akhir pertemuan, Mohamad menzahirkan penghargaan atas pengesahan kehadiran Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan, Marat Zyabbarov dan delegasi pertanian dari Republik Tatarstan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 September 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!