Pesanan terakhir sebelum suami 'pergi'

Mohd Azahari (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Noridah di Seri Gombak hari ini.
Mohd Azahari (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Noridah di Seri Gombak hari ini.
A
A
A

GOMBAK - "Balik nanti jangan lupa jemput saya," itu pesanan terakhir Mohamed Haffeez Faidzal, 39, kepada isterinya, Noridah Abu Bakar, 33, sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 239.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat Pedas, Negeri Sembilan 1 Januari lalu.

Noridah berkata, semasa kejadian kemalangan itu, suaminya dalam perjalanan pulang ke kampung di Melaka dengan menunggang motosikal bersendirian.

Dia berkata, suaminya keluar dari rumah mereka di Seri Gombak pada jam 7 pagi sebelum dia menerima panggilan memaklumkan suaminya maut dalam kemalangan di Pedas, Negeri Sembilan kira-kira jam 9 pagi.

"Arwah memang selalu berulang-alik ke Melaka seminggu sekali atau dua kali tapi biasanya menaiki kereta. Hanya pada hari kejadian dia menunggang motosikal untuk ditinggalkan di kampung.

"Dia tak cakap apa-apa cuma sebelum keluar rumah dia pesan supaya mengambilnya di Terminal Bersepadu Selatan pada sebelah malamnya," katanya sewaktu menerima lawatan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumah sewanya di Seri Gombak hari ini.

Lawatan diketuai Timbalan Pengarah Perkeso Wilayah Persekutuan, Fuad Alias. Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 4, Mohd Azahari Daud.

Noridah berkata, suaminya juga tak menunjukkan perubahan ketara cuma kebelakangan itu, dia kerap menukar status di aplikasi WhatsApp.

"Dia kata penat berulang-alik ke Melaka-Gombak dan mahu menetap terus di sana, namun tak sangka itu petanda yang dia mahu meninggalkan kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, ketika kejadian Mohamed Haffeez kemalangan selepas terbabas ketika mengelak sebuah lori.

Sementara itu, Fuad berkata, Mohamed Haffeez merupakan seorang usahawan orang kurang upaya (OKU) yang menerima pencen ilat sejak 2013.

"Skuad Perkeso Prihatin Kuala Lumpur bertindak menghubungi waris dan menjalankan lanjut selepas mengetahui insiden menimpa arwah.

"Hasil siasatan mendapati waris layak menerima pencen penakat sebanyak RM643 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat RM2, 000," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!