Geng Putra aktif curi kabel diberkas
KUALA LUMPUR - Polis memberkas tujuh lelaki yang juga ahli 'Geng Putra' dipercayai terbabit kes kecurian kabel di tapak pembinaan di Jalan Segambut, di sini, pada 22 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan berkaitan kes itu pada jam 10.37 pagi, 22 Julai lalu.
"Kejadian kecurian itu berlaku pada jam 8.30 pagi, 22 Julai lalu.
"Berdasarkan hasil risikan, kita berjaya memberkas empat lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing di sekitar Lembah Klang, pada 25 Julai lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, pada Khamis.
Ahmad Sukarno berkata, kesemua tangkapan itu berusia lingkungan 29 tahun sehingga 43 tahun.
"Semakan rekod mendapati tiga daripada suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau," katanya.
Beliau berkata, susulan daripada tangkapan itu, pihak polis merampas empat buah kereta, empat rangkai anak kunci dan alat kawalan jauh.
"Kita turut merampas 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama, enam guni mengandungi gumpalan wayar, satu plastik warna hitam berisi gumpulan penebat kabel, 35 gelungan wayar kabel telah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memotong kabel, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 150,000," katanya.
Ahmad Sukarno berkata, modus operandi sindiket yang didalangi oleh empat lelaki warga tempatan itu mensasarkan kabel, besi copper dan aluminium di kawasan tapak projek dan perumahan.
"Hasil barang-barang yang dicuri itu akan dijual semula di kedai besi buruk untuk mendapatkan wang bagi tujuan membeli dadah," katanya.
Beliau berkata, pihak polis kini Serdang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
"Susulan dari operasi ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes kecurian yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!