'Saya tak ada dokumen langsung sejak lahir'
KLANG - "Saya tak ada dokumen langsung sejak lahir". Itu antara dakwaan seorang wanita berusia 21 tahun yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Bandar Botanik, di sini pada Khamis.
Enggan memberitahu nama, wanita yang bekerja sebagai jurujual di sebuah premis mendakwa dia dilahirkan di Klang, namun ibu bapanya yang juga warga Indonesia telah berpisah.
"Mak ayah sudah berpisah lama, saya tak tahu di mana mereka.
"Saya bekerja di sini sejak setahun lepas dengan gaji RM1,500 sebulan," katanya.
Selain itu, JIM juga mengesan segelintir warga asing yang membawa surat permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0), namun dokumen itu tidak sah berikutan telah tamat pada 31 Jun lalu.
Sinar Harian yang menyertai operasi bermula jam 1 tengah hari itu mendapati terdapat beberapa cubaan warga asing melarikan diri selain premis yang tutup selepas menyedari kehadiran pasukan operasi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, operasi secara bersepadu bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah memeriksa 140 premis dan 213 individu.
"Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 83 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 42 wanita yang kesemua berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun.
"PATI yang ditahan membabitkan 41 Indonesia, Nepal (17), Bangladesh (11), Pakistan (6), Myanmar (4), India (1), Afghanistan (1) serta seorang China," katanya kepada pemberita di lokasi operasi pada Khamis.
Tambahnya, antara kesalahan yang dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas.
"Kesemua PATI akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.
Dalam pada itu, Jafri menegaskan, JIM mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi dan menggajikan PATI atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!