Pelajar IPT jadi keldai akaun mungkin juga mangsa penipuan - KPN
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada 208,000 pemilik keldai akaun yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi mangsa penipuan sehingga akaun bank mereka digunakan sindiket.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mangsa keldai akaun di kalangan penuntut IPT terbabit turut dijanjikan dengan imbuhan sehingga mereka terperdaya.
"Kita (PDRM) percaya penuntut yang dijadikan keldai akaun turut diperdayakan dan mereka bukan secara sukarela memberikan akaun perbankan kepada sindiket.
"Berkemungkinan mereka ini tidak faham dan seterusnya dijadikan keldai akaun," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Inspektor Kor SUKSIS UiTM Kali Kesembilan di sini pada Khamis.
Razarudin mengulas lanjut berkata, paling penting, setiap penuntut, golongan remaja atau belia seharusnya menyedari risiko bakal dihadapi apabila akaun perbankan mereka digunakan untuk tujuan salah atau jenayah.
Ujarnya, pelatih-pelatih IPT yang menyertai Kor SUKSIS turut disarankan untuk mendalami ilmu undang-undang agar dapat menjadi pembimbing dan penasihat kepada setiap rakan-rakan IPT serta masyarakat.
"Pelatih-pelatih ini boleh menjadi orang tengah atau pengantara kepada PDRM sendiri dan diharap dapat membantu kita mengatasi sebarang situasi berkaitan isu penggunaan akaun," ujarnya.
Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, berdasarkan semakan pihak polis mengenal pasti 208,000 keldai akaun di negara ini dan sebahagian daripada pemilik keldai akaun itu adalah milik pelajar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!