Pesara tentera berpangkat Datuk didakwa terima RM300,000 bina rumah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara tentera berpangkat Mejar Jeneral mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan menerima RM300,000 bagi pembayaran pembinaan kediaman antara 2021 hingga 2022.

Datuk Zainal Abdul Manaf, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Asisten Ketua Staf Material, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) (ketika itu), telah menerima pembayaran pembinaan rumah bernilai RM300,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki berusia 56 tahun, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini pada 22 Disember 2021 dan 15 Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Aznika Mohd Anas mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 bagi semua pertuduhan.

"Termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Simret Singh yang mewakili Zainal, merayu kadar itu dikurangkan kerana tertuduh dan isterinya mempunyai penyakit darah tinggi yang memerlukan rawatan di pusat perubatan swasta selain menanggung perbelanjaan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin bagi dua kes itu dan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula kes.

Ringkasan berita:

  • Tertuduh: Datuk Zainal Abdul Manaf, pesara Mejar Jeneral TUDM.
  • Pertuduhan: Menerima RM300,000 bagi pembayaran pembinaan rumah tanpa balasan.
  • Jawatan Semasa Kesalahan: Asisten Ketua Staf Material, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
  • Tarikh Kesalahan: 22 Disember 2021 dan 15 Mac 2022.
  • Lokasi Kesalahan: Sebuah bank di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
  • Pertuduhan: Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
  • Hukuman Jika Sabit Kesalahan: Penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
  • Ikat Jamin: RM35,000 dengan syarat tambahan.
  • Syarat Tambahan: Lapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, serahkan pasport kepada mahkamah.
  • Tarikh Sebutan Semula Kes: 26 September.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!