MKT UMNO syor Nenggiri dikecilkan, pecahkan Gua Musang jadi 3 Parlimen

Ahmad (dua dari kiri) pada sidang akhbar ketika meninjau kemajuan kerja pembaikian cerun di Jalan Limau Kasturi-Bertam Baru di Gua Musang pada Khamis.
Ahmad (dua dari kiri) pada sidang akhbar ketika meninjau kemajuan kerja pembaikian cerun di Jalan Limau Kasturi-Bertam Baru di Gua Musang pada Khamis.
A
A
A

GUA MUSANG - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memecahkan Gua Musang kepada tiga Parlimen untuk mengecilkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang terlalu luas.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, cadangan berkenaan untuk memudahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjaga kawasan dan menjalankan tugas kerana keluasan Nenggiri dianggarkan dua kali ganda negeri Melaka.

"Saya rasa keluasan di sini (Nenggiri) terlalu besar jadi saya ingin mengesyorkan supaya SPR melakukan pecahan sempadan.

"Gua Musang ini boleh dipecahkan jadi tiga Parlimen supaya Nenggiri mungkin boleh diasingkan kepada dua DUN," katanya.

Ahmad (kanan) meninjau kemajuan kerja pembaikian cerun di Jalan Limau Kasturi-Bertam Baru di Gua Musang pada Khamis.
Ahmad (kanan) meninjau kemajuan kerja pembaikian cerun di Jalan Limau Kasturi-Bertam Baru di Gua Musang pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau kemajuan kerja pembaikan cerun di Jalan Limau Kasturi - Bertam Baru di sini pada Khamis.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, berdasarkan pengalaman berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, beliau mampu mengelilingi seluruh kawasan itu dalam masa sehari namun tidak mampu berbuat demikian di Nenggiri kerana faktor kawasan yang sangat luas itu.

"Bayangkan nak ke Kampung Kuala Sungai (dari Gua Musang) sahaja makan masa dua jam setengah.

Artikel Berkaitan:

"Kalau Melaka ada 28 buah DUN, (bermakna seolah-olah) 56 DUN baru sama dengan satu DUN Nenggiri. Melaka juga ada enam buah Parlimen. Jadi 12 Parlimen baru sama dengan DUN ini.

"Jadi cadangan saya kepada SPR tolonglah pecahkan kawasan yang sebegini luas kerana ia akan menyukarkan ADUN yang dipilih (untuk melaksanakan tugas).

Sementara itu, Ahmad menyifatkan kempen PRK Nenggiri menjadi antara PRK yang harmoni kerana tiada sebarang provokasi dan insiden buruk berlaku.

Kata beliau, tiada sebarang perbuatan khianat atau mensabotaj bahan kempen seperti bendera dilaporkan setakat ini.

"Tidak ada insiden cabut bendera parti berlaku, suasana aman damai yang menunjukkan keamanan demokrasi di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut meminta jentera BN meneruskan kerja kempen PRK Nenggiri sehingga tamat proses pengundian pada Sabtu ini.

Katanya, bantuan perlu diberikan sebaiknya terutama kepada pengundi yang mempunyai masalah tiada kenderaan dengan membawa mereka keluar mengundi.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!