Pasangan warga emas rentung dikebumikan esok

Polis mengklasifikasikan kes tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh sebagai kes bunuh.
Polis mengklasifikasikan kes tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh sebagai kes bunuh.
A
A
A

MUAR - Polis mengesahkan sudah menerima laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dua mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, laporan DNA daripada Jabatan Kimia Johor itu mengesahkan mangsa rentung ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isteri, Ara Abd Hamid, 76.

"Keputusan DNA sudah diperoleh dan keluarga mangsa boleh menuntut kedua-dua jenazah untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sementara itu, anak kepada pasangan warga emas itu, Mahat Mohamed Nor, 44, memaklumkan jenazah dijangka dikebumikan pada pagi Jumaat.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Redan, Pagoh, iaitu lokasi sama anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim dikebumikan pada Sabtu lalu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan di sini, kira-kira jam 1.30 pagi Jumaat.

Selain Mohamed Nor dan Ara, cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana, 11, juga meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Ia selepas siasatan lanjut di lokasi kejadian dan hasil laporan bedah siasat ketiga-tiga mangsa mendapati terdapat unsur jenayah.

Dalam pada itu, suspek utama yang juga anak pasangan warga emas berkenaan telah ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan direman selamat tujuh hari di Mahkamah Majistret Muar pada Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!