Pemandu maut, lori bawa muatan telur terbalik
KUALA KANGSAR - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik di KM257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di antara Terowong Menora ke Kuala Kangsar pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.57 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan BBP Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian itu melibatkan sebuah lori jenis Hino muatan telur terbalik dipercayai terbabas selepas melanggar pembahagi jalan dan lampu jalan menyebabkan pemandunya, seorang lelaki berusia 23 tahun tersepit manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 29 tahun merupakan kelindan cedera ringan.
"Anggota kemudiannya membuat kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Sementara itu seorang lagi mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk kelindan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, operasi yang membabitkan 13 anggota dari BBP Kuala Kangsar dan BBP Meru Raya itu tamat pada jam 4.27 petang.
Sementara itu, susulan insiden tersebut, trafik sesak di kedua-dua arah berikutan semua lorong ke utara masih terhalang dan sesak kira-kira 6km, manakala kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut sedang dijalankan.
Sehingga jam 4.46 petang tadi, menerusi akaun X Plustrafik memaklumkan laluan kontra telah diaktifkan dari KM257.5 hingga KM256.4 dan trafik dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Selatan untuk perjalanan ke utara.
Terdahulu, seorang lelaki maut selepas treler yang dipandu terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM301.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara dekat Gopeng awal pagi Khamis.
Pihak JBPM menerima panggilan mengenai kejadian tersebut jam 2.37 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi kejadian.
Kemalangan tersebut melibatkan lima buah kenderaan iaitu tiga buah treler, sebuah lori satu tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!