Maimunah mampu pacu Kuala Lumpur jadi bandar raya terbaik - Lam Thye

Lam Thye. Laporan Sinar Harian.
Lam Thye. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengalaman luas terhadap isu pembangunan bandar menjadikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkemampuan untuk memacu Kuala Lumpur menjadi bandar raya terbaik.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelantikan tersebut juga menjadi sejarah apabila beliau merupakan wanita pertama dilantik jawatan tersebut.

Menurutnya, Maimunah juga merupakan wanita asia pertama pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Ini merupakan satu perkara yang positif kerana telah banyak agensi ataupun majlis perbandaran yang lain mempunyai wanita sebagai seorang ketua tetapi bukan di Bandaraya Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun tanpa melihat isu gender, Datuk Maimunah tidak dilihat dari aspek tersebut sahaja. Beliau memang mempunyai kelayakan hebat, berkaliber, berkemampuan dan merupakan seorang yang penuh ilmu pengetahuan tentang perancangan serta pembangunan bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, pelantikan Maimunah, 63, sebagai Datuk Bandar DBKL berkuatkuasa bermula Khamis iaitu 15 Ogos bagi menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Mengulas lanjut, Lam Thye memaklumkan, susulan daripada itu banyak isu utama perlu diberi perhatian untuk memastikan perancangan terhadap masalah boleh dilakukan dengan lebih efektif.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, antara isu utama yang boleh diambil serius adalah perbanyakkan libat urus bersama dengan pelbagai sektor masyarakat bagi mendengar pandangan daripada penduduk Kuala Lumpur.

“Ini bagi merancang dan membawa segala isu kepada penyelesaian yang lebih efisien. Selain itu, pemupukan dan pemeliharaan alam sekitar di bandaraya juga perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kita hidup dalam keadaan yang baik.

“Antara isu lain boleh diberi perhatian adalah kualiti hidup rakyat, penguatkuasaan undang-undang, penyelenggaraan infrastruktur, isu sosial, perumahan dan kesesakan jalan raya serta banyak lagi cabaran yang perlu diberi perhatian buat pengurusan Datuk Bandar hari ini.

"Saya mengalu-alukan dan ingin menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan tersebut. Selamat menjalankan tugas dan semoga ibu kota negara kita akan lebih bahagia di bawah kendalian Maimunah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!