Attana Hotels & Resorts rangkul enam anugerah berprestij
ANAK syarikat hospitaliti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd (AHR) merangkul enam anugerah berprestij pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024, baru-baru ini.
AHR yang menguruskan tujuh kumpulan hotel, resort dan kelab golf telah dinobatkan sebagai Pengurusan Hotel dan Hartanah Terbaik.
Perdana Kuala Lumpur City Centre (PKLCC) di bawah seliaanya dianugerahkan sebagai Hotel Bandar Keluarga Terbaik manakala Perdana Kota Bharu (PKB) diiktiraf sebagai Hotel Terbaik Bandar di Pantai Timur.
Sementara itu, Espira Kinrara memenangi Hotel Perniagaan Tiga Bintang Terbaik; Villea Port Dickson (VPD) dianugerahkan sebagai Resort Mesra Alam Terbaik dan Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) merangkul anugerah Lokasi Golf Terbaik.
Ketua Pegawai Operasi AHR, Ron Hasni Yusoff berkata, anugerah tersebut mengiktiraf AHR atas kemudahan yang cemerlang dan standard perkhidmatan luar biasa yang ditonjolkan.
Menurutnya, anugerah tersebut juga menghargai AHR bukan sahaja sebagai kumpulan hotel kontemporari terkemuka, pengendali resort dan penyedia kelab golf tetapi juga menunjukkan komitmennya untuk meningkatkan pengalaman tetamu.
"Ia adalah bukti keupayaan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penginapan kelas premium, menawarkan hospitaliti terbaik, perkhidmatan dan tempat makan terbaik secara bertanggungjawab dari segi ekologi,” katanya.
Tambah beliau, anugerah berkenaan bakal menjadi pemacu kepada kakitangannya untuk meningkatkan lagi tahap perkhidmatan kepada pelanggan, terutamanya dalam usahanya mengutamakan kemampanan di bawah program tanggungjawab sosial kumpulan, Sayang Earth.
“Pengalaman kami yang direka terhadap hospitaliti Malaysia daripada penginapan hingga masakan adalah apa yang membezakan kami dengan pesaing,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!