'Badan dalam mulut buaya, saya cucuk matanya selepas dengar bisikan'

Helmiyansyah Katibin (kiri) ketika menerima kunjungan Harapan Rakyat di kediamannya di Kampung Langsat, Merotai.
Helmiyansyah Katibin (kiri) ketika menerima kunjungan Harapan Rakyat di kediamannya di Kampung Langsat, Merotai.
A
A
A

TAWAU - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki yang sebelum ini diserang buaya di sebuah sungai berhampiran jeti Tanah Merah, Felda Umas 4, di sini, masih tidak percaya terselamat daripada maut walaupun badannya sudah berada dalam mulut sang bedal, dalam kejadian kira-kira sebulan lalu.

Helmiyansyah Katibin, 18, berkata, dia tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk melawan reptilia sepanjang lebih empat meter itu pada saat badannya sudah berada di dalam mulut haiwan tersebut.

Mengimbas semula kejadian itu, Helmiansyah berkata, dia bersama anak saudara dan rakannya ke sungai tersebut untuk mencari siput sebagai lauk mereka sekeluarga.

"Semasa berada di dalam sungai, pertama sekali anggota badan saya yang digigit adalah bahagian lutut.

"Kemudian saya ditarik oleh buaya sehingga ke tengah sungai yang ketika itu kedalamannya mencapai paras dada.

"Kemudian badan saya sudah berada di mulut buaya. Ketika itu antara hidup dan mati saja tetapi tiba-tiba saya seperti terdengar bisikan mengatakan 'saya tidak boleh mati, saya boleh melawan' ketika itu ," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Parut kesan gigitan buaya di bahagian kaki Helmiyansyah dalam serangan pada 22 Julai lalu di sebuah sungai berhampiran jeti Tanah Merah, Felda Umas 4, Tawau.
Parut kesan gigitan buaya di bahagian kaki Helmiyansyah dalam serangan pada 22 Julai lalu di sebuah sungai berhampiran jeti Tanah Merah, Felda Umas 4, Tawau.

Artikel Berkaitan:

Remaja itu berkata, memikirkan soal kematian urusan Tuhan, dia nekad melawan reptilia tersebut walaupun badannya sudah dalam mulut buaya.

"Tiba-tiba terfikir orang kata cucuk mata buaya untuk lepaskan diri daripada serangan.

"Ketika itu, tangan kiri saya sedang menahan mulut buaya, kemudian tangan kanan meraba muncung mulut buaya sehingga ke mata sebelum menggunakan jari hantu untuk mencucuk matanya," katanya.

Katanya lagi, tindakannya itu menyebabkan buaya tersebut meronta dan terpaksa melepaskan gigitannya sehingga dia berpeluang menyelamatkan diri.

"Kejadian terlalu pantas, sebaik saja saya sedar terlepas dari gigitan, saya segera berenang ke tepi sungai dan terus naik ke darat.

"Disebabkan itu, saya mengalami kecederaan terkoyak di bahagian paha, betis dan di kedua-dua bahagian kanan dan kiri badan," katanya.

Remaja itu berkata, dia dirawat di hospital selama seminggu dan menjalani pembedahan selain dijahit pada luka akibat digigit buaya.

"Saya menerima 19 jahitan di bahagian lutut yang digigit buaya. Kini lukanya semakin sembuh tetapi masih menunggu sehingga ia kering.

"Kesan gigitan kekal sebagai parut di badan dan masih ada luka masih basah," katanya.

Helmiyansyah berkata, sungai itu biasa dikunjunginya untuk mencari siput dan tidak pernah ada kejadian serangan atau kehadiran buaya.

"Saya dimaklumkan, buaya itu baru saja masuk ke sungai tersebut dan menyebabkan kejadian malang menimpa saya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!