PATI beri alasan permohonan RTK masih diproses elak dicekup
KLANG - Permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sedang diproses antara alasan pendatang asing bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di sebuah pusat beli-belah di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Pengarah JIM (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terdapat segelintir yang mengemukakan salinan permohonan RTK 2.0 sebagai dokumen pengesahan sedangkan program berkenaan telah pun ditutup.
"Antara alasan diterima pihak kami ketika pemeriksaan dilakukan ada yang kata dokumen (pengenalan diri, permit) telah diberikan kepada majikan dan ada mendakwa permohonan (RTK 2.0) sedang diproses.
"Untuk RTK 2.0 ini tamat pada 31 Jun lepas tetapi mereka masih bawa salinan kertas permohonan tapi telah ditutup," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu di sini pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh proses pengambilan pekerja asing oleh majikan yang mendaftar Program RTK 2.0 ekoran proses perlu dilaksanakan majikan telah dipermudah, antaranya tidak perlu memohon visa pekerja melalui ejen.
Mengulas mengenai operasi hari ini, Jafri berkata, seramai 83 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen daripada 213 individu yang diperiksa antaranya pekerja pembersihan dan pekerja am di pusat beli-belah berkenaan."Antara kesalahan yang dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar akta imigresen.
"Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan susulan," katanya.
Beliau berkata, operasi lain yang bakal dijalankan pada tahun ini akan turut menumpukan kepada pihak majikan bagi membanteras kemasukan warga asing tanpa izin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!