Henti eksploitasi isu komik - Pemuda DAP
SHAH ALAM - Eksploitasi berkaitan isu komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama perlu dihentikan segera bagi menggelakkan daripada berlaku pergaduhan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh jelas bertentangan dengan semangat perpaduan yang dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan rakyat pelbagai kaum.
"Akmal diminta henti memecah-belahkan masyarakat. Buku komik tersebut selesai melalui proses kehakiman di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sebaiknya Akmal berhenti mencetuskan pergaduhan antara masyarakat atas isu ini
"Kita haruslah menghormati dan melindungi hak asas setiap individu dan bukannya memberikan ugutan terhadap suara ‘minoriti’ dengan alasan ‘majoriti.
"Kita harus faham bahawa perbezaan pendapat dalam sesuatu isu adalah satu prinsip demokrasi dan tidak bermaksud kita mencabar mana-mana hak 'majoriti'," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau menegaskan, ugutan dan provokasi menggunakan naratif demikian tidak akan mendatangkan manfaat kepada negara malah akan mengeruhkan lagi keadaan mahupun isu tersebut.
Ujarnya, seorang pemimpin bertanggungjawab perlu mengutamakan perpaduan, bukan perpecahan dan beliau menyeru semua pihak untuk kekal rasional serta berhenti mengeksploitasi isu berkenaan lagi.
"Kenyataan Akmal berkenaan 'Jika kami berfikiran autoritarian, kamu pun tidak boleh duduk dan menjadi ahli Parlimen di negara ini' adalah tidak matang serta berupaya untuk menyebabkan perpecahan.
"Sekiranya ada perbezaan pendapat, saya mengajak mana-mana pihak untuk berdialog secara matang untuk memahami mana-mana isu dan mencari jalan bagi membina negara bersama, bukan memecahkan rakyat kita yang berbilang kaum.
"Jangan gunakan kenyataan provokatif untuk memecah-belahkan masyarakat tetapi beri tumpuan kepada isu-isu yang dapat menyelesaikan masalah-masalah rakyat dari segi ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan perintah larangan terhadap penerbitan komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diharamkan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan perintah larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.
Perintah larangan tersebut sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.
Malah, komik itu juga memberikan persepsi negatif mengenai Islam apabila menggambarkan umat Islam sebagai pengganas.
Penulisnya adalah penyokong tegar DAP yang terkenal dengan panggilan 'Superman Hew', pernah terpalit pelbagai kontroversi disebabkan ucapan berbaur perkauman.
Susulan daripada itu, Akmal mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan perintah larangan penerbitan komik berkenaan.
Menurutnya, semakan semula keputusan kerajaan itu adalah selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan, di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!