Rakan strategik sumbang RM4.09 juta taja sambutan Hari Kebangsaan 2024

Fahmi Fadzil menerima salah satu sumbangan penajaan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi pada sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 pada Khamis. Foto Bernama
Fahmi Fadzil menerima salah satu sumbangan penajaan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi pada sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Khamis menerima sumbangan penajaan berjumlah RM4.09 juta daripada 29 rakan strategik Kementerian Komunikasi untuk sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM 2024 itu menerima sumbangan penajaan daripada Rakan Strategik Emas dan Rakan Strategik Perak menerusi Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi berjumlah RM2.03 juta manakala tajaan berbentuk kereta berhias untuk Acara Perbarisan serta Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 berjumlah RM2.06 juta.

"Sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Hari Kebangsaan yang digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

"Sumbangan penajaan dalam bentuk barangan pula akan diedar dan diagih oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kelak," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi bagi Sambutan HKHM 2024 di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan wakil rakan-rakan strategik.

Fahmi berkata, sumbangan itu, terutama dalam bentuk barangan seperti minuman, makanan, baju, topi, baucar beli-belah dan barang dagangan seperti bendera, kipas tangan, payung, botol minuman, beg serta banyak lagi bakal menceriakan dan bermakna buat rakyat yang mengunjungi Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

"Harapan saya agar sumbangan daripada pihak swasta dan pemain industri ini tidak akan terhenti di sini tetapi akan terus menyokong acara-acara yang diadakan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga turut mengharapkan agar kerjasama strategik yang kukuh antara pihak awam dan swasta ini akan berterusan demi kemakmuran negara Malaysia yang tercinta," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!