SKMM bakal lancar kempen kesedaran dalam talian
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bakal melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Dalam Talian yang komprehensif dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Teo Nie Ching.
Beliau berkata, inisiatif itu akan memperkukuh lagi usaha sedia ada untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai penggunaan Internet secara positif, produktif dan bertanggungjawab.
"Melalui kempen ini, kami memperluas program seperti 'Klik Dengan Bijak' yang telah berjaya mengadakan 1,429 program sejak 2012 hingga 15 Julai 2024.
" ... mencapai khalayak seramai 10.3 juta dengan menumpukan pemikiran kritis dalam talian dan memperkukuh program Sukarelawan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Girls In ICT Forum 2024 (GICT 2024) anjuran MCMC di sini pada Khamis.
Nie Ching berkata, usaha ini menggabungkan perkhidmatan dan kempen media sosial kementerian yang akan diumumkan bertujuan mewujudkan budaya tanggungjawab digital serta memperkasakan setiap rakyat di negara ini untuk mengemudi dunia dalam talian dengan selamat dan yakin.
Nie Ching berkata, kementerian dengan kerjasama SKMM terlibat secara meluas dengan penyedia perkhidmatan dalam talian seperti Meta dan Google untuk menangani pelbagai isu, memberi tumpuan kepada meningkatkan penyederhanaan keselamatan dalam talian.
Sejak dilantik sebagai timbalan menteri, Nie Ching berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan syarikat itu sekurang-kurangnya 13 kali dan yang terbaru dengan Meta pada April.
"Menteri YB (Yang Berhormat) Fahmi Fadzil juga mengutamakan perkara ini termasuk pertemuan dengan Meta dan platform media sosial lain semasa lawatan beliau ke Singapura baru-baru ini. Kementerian berada di barisan hadapan dalam memastikan bahawa teknologi memperkasakan dan bukan membahayakan rakyat kita.
"Kami bekerja keras untuk memastikan ruang dalam talian kita selamat supaya semua terutama gadis dan wanita dalam ICT boleh terus maju tanpa bimbang diganggu atau dibuli," katanya.
Nie Ching berkata, walaupun menangani cabaran itu mustahak ia sama penting untuk mengiktiraf kesan positif ICT yang lebih meluas terhadap masyarakat dan ekonomi.
"Untuk mencapai matlamat ini, kita memerlukan pendekatan pelbagai aspek. Ini termasuk program bimbingan, bengkel kepimpinan dan mewujudkan peluang rangkaian untuk wanita dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Marilah kita wujudkan lebih banyak peluang, sokongan dan inspirasi untuk generasi akan datang. Saya percaya dengan usaha kolektif ini, kita boleh mencapai kejayaan lebih gemilang dan menyuntik perubahan positif dalam masyarakat kita,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!