Pelabuhan Kuantan berpotensi sebagai hub pangkalan kapal persiaran

Anthony Loke hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kuantan Port, Northport Malaysia dan Malaysia Rail Link (MRL) sempena Majlis Perasmian Penutup Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan (K-ICe) 2024 pada Khamis.
Anthony Loke hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kuantan Port, Northport Malaysia dan Malaysia Rail Link (MRL) sempena Majlis Perasmian Penutup Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan (K-ICe) 2024 pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Pelabuhan Kuantan di sini berpotensi sebagai hub berlabuh kapal persiaran di Pantai Timur.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelabuhan itu begitu strategik kerana kedudukannya di tengah laluan pelayaran kapal persiaran di Laut China Selatan khususnya dari Singapura-Bangkok-Vietnam-Singapura.

Menurutnya, ketika ini belum ada terminal pelayaran khusus di Pantai Timur, justeru Pelabuhan Kuantan boleh dinaik taraf dengan menyediakan kemudahan sesuai termasuk terminal penumpang dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

"Kita sudah ada pelabuhan di sini sebab itu saya cadangkan supaya Pelabuhan Kuantan membangunkan kemudahan tersebut bagi menarik syarikat-syarikat kapal persiaran untuk menjadikan Kuantan sebagai antara destinasi berlabuh.

"Ia sesuai dengan usaha kerajaan yang kini sedang giat mempromosikan pelabuhan di negara ini sebagai 'home port' kapal persiaran selain Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan (K-ICe) 2024 di sini pada Khamis.

Anthony Loke berkata, ketika ini kapal-kapal persiaran kebanyakannya berlabuh di pelabuhan utama di Selat Melaka (Pantai Barat) termasuk Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Terminal Swettenham Pier dan Langkawi.

"Memang harapan kita untuk menarik kapal persiaran ini berlabuh di pelabuhan di negara kita termasuk di Pelabuhan Kuantan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini difahamkan ada kapal persiaran berlabuh di sini tetapi tanpa fasiliti yang terancang, justeru dalam usaha mempromosikan pelancongan kapal persiaran ini perlu ada kemudahan yang sesuai," katanya.

Tambah beliau, usaha ke arah itu bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Pelabuhan Kuantan sebaliknya perlu kerjasama kerajaan negeri dan Tourism Pahang untuk mempromosikan Pahang kepada syarikat-syarikat kapal persiaran.

"Kalau mereka berlabuh di sini sekurang-kurangnya ada tarikan menarik boleh disajikan kepada pelancong untuk mengisi jadual mereka," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anthony Loke berkata, perkembangan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan 70.13 peratus setakat ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan projek itu mengikut jadual seperti yang dirancangkan.

"Kerajaan yakin projek ECRL dari Gombak ke Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka siap menjelang akhir 2026 dan mula beroperasi awal 2027 seperti dirancang.

"Projek ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang yang masih peringkat awal atau 30 peratus dijangka disiapkan tahun berikutnya," katanya.

Beliau berkata, landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur penting untuk pengangkutan kargo yang menjadi komponen penting dalam ECRL untuk ke pelabuhan utama selain memberikan kelebihan kepada sektor perindustrian di Pantai Timur, khususnya di Pahang.

"Pahang bakal ada lima stesen kargo yang akan dibangunkan untuk memudahkan pergerakan kargo antara di kawasan perindustrian Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!