Kaji semula had masa gangguan perkhidmatan perbankan - Ka Siong

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula dasarnya yang membenarkan institusi kewangan mengalami masa henti yang tidak dirancang sehingga empat jam setahun dan maksimum 120 minit setiap kejadian.

Menerusi hantaran video di Facebook pada Khamis, Ka Siong berkata, dasar semasa bank pusat itu terlalu longgar.

Menurutnya, BNM harus mengetatkan had atau 'stringent limit' supaya semua bank menganggap pematuhan had tersebut sebagai keutamaan demi kepentingan pengguna.

“Tempoh ini perlu disingkatkan kerana ia akan memaksa setiap bank untuk meningkatkan pelaburan yang lebih besar dalam memperkukuhkan sistem perkhidmatan dalam talian.

“Ini kerana rakyat akan bergantung kepada e-pembayaran. Sebarang gangguan tidak terancang akan menyebabkan keadaan huru-hara dalam kalangan pengguna,” katanya.

Pada Rabu, BNM mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM4.32 juta ke atas Malayan Banking Bhd dan Maybank Islamic Bhd serta RM760,000 ke atas CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd susulan gangguan beberapa perkhidmatan perbankan yang berpanjangan.

AMP itu dikenakan kerana ketidakpatuhan perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), bersama-sama dengan perenggan 10.32 Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT).

Di bawah perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan tahap ketersediaan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas perkara itu, Ka siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam berkata, tindakan tegas BNM tersebut perlu disokong penuh oleh pengguna walaupun jumlah denda tidak signifikan berbanding keuntungan bank-bank berkenaan.

“Saya harap tindakan dan keputusan ini kekal. Teruskan, ini demi kepentingan rakyat. Tindakan BNM ini patut dipuji.

“Ini merupakan permulaan yang baik sebagai badan kawal selia institusi kewangan di Malaysia. Peranan BNM bagai ibu bapa mendidik anak. Jika mereka buat salah, tegur lah, marahlah dan rotan lah jika perlu demi kebaikan bersama,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!