TUDM terbangkan 40 warga Palestin cedera dari Mesir ke Malaysia

Seramai 40 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam dengan dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan. Foto wikipedia
Seramai 40 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam dengan dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan. Foto wikipedia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 40 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam dengan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan.

Warga Palestin yang cedera dan kini sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir, mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.

Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr memberitahu Bernama, bahawa dua pesawat dan pesakit dijadualkan tiba di Malaysia pada pagi Jumaat.

"Mereka akan menerima rawatan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa dua pesawat A-400M milik TUDM telah dihantar ke Mesir untuk membawa warga Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan perubatan.

Nasr berkata, pemilihan 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dibuat atas arahan Presiden Abdel Fattah el-Sisi selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini adalah usaha yang diselaraskan melibatkan pelbagai pihak yang bekerjasama untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri Anwar,” katanya sambil memberi jaminan komitmen untuk meneruskan usaha mereka dengan kerjasama Malaysia.

Pada 4 Ogos lepas, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia akan membantu merawat warga Palestin yang cedera dengan membawa mereka ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan media, hampir 40,000 warga Palestin telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 92,000 lagi cedera.

Menurut Nasr, Mesir kini menempatkan lebih 70,000 warga Palestin di 40 hospital.

Beliau memberi jaminan bahawa Mesir akan terus memberi sokongan terhadap sebarang permintaan masa depan dari Malaysia.

"Kami akan meneruskan bantuan ini, apa sahaja yang diminta oleh Malaysia pada masa hadapan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!