'Saya reda, jika ada berniat jahat pasti dapat balasan' - Ibu Nidza Afham
SHAH ALAM - Ibu kepada Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemukan maut di Sungai Klang, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung keputusan bedah siasat terhadap kematian anaknya.
Ibunya, Irni Yusmira Istihat, 54, berkata, meskipun berasa sedih dengan kehilangan anak kelima daripada tujuh beradik itu, namun beliau menerima segala ketentuan-Nya.
"Apa yang berlaku pada Afham, saya reda sebab kalau ada yang berniat jahat pasti mendapat balasan setimpal," katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Nidza Afham di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam pada Khamis.
Irni Yusmira memberitahu, selepas dimaklumkan mengenai kehilangan Allahyarham, naluri keibuannya kuat dan yakin anaknya itu pasti ditemui.
"Selepas pulang membuat laporan polis pada malam kejadian, saya terus menunaikan solat dan berdoa agar ALLAH SWT pulangkanlah Afham dalam keadaan sempurna sebagaimana diberi semasa kelahirannya," katanya.
Jelas Irni Yusmira, beliau bersyukur kerana doanya diperkenan ALLAH SWT dan dapat melihat sendiri anaknya itu semasa di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam.
"Hati saya jadi tenang melihat raut wajah Afham dan semasa saya memandikannya, saya dapat lihat tiada satu pun (anggota badannya) yang terpatah.
"Alhamdulillah, ALLAH SWT beri kepada saya kesempurnaan itu seperti mana ketika saya melahirkannya di dunia ini," katanya.
Sementara itu, abang sulung kepada Allahyarham Nidza Afham, Nidza Irfan Mokhtar, 33, berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci bagi merungkai kes kematian adiknya.
"Sudah pasti kami sekeluarga akan merindui gelak tawa dan gurauan arwah, namun kami reda dengan pemergiannya," katanya.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Nidza Afham diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau berkata, bedah siasat telah dijalankan bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 3 petang di Hospital Shah Alam pada Khamis.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Nidza Afham, yang ditemukan maut di Sungai Klang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam di sini kira-kira jam 6.45 petang pada Khamis.
Terdahulu, jenazah anak kelima daripada tujuh beradik itu disembahyangkan di Masjid Puncak Alam dibawa menaiki van jenazah dari Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam.
Suasana hiba di tanah perkuburan sejurus sebelum jenazah Allahyarham tiba untuk dikebumikan.
Kira-kira ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan hadir pada pengebumian Allahyarham Nidza Afham.
Penyanyi itu dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, kira-kira jam 11.53 malam pada Selasa.
Susulan itu, dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.
Jasad Nidza Afham kemudiannya ditemukan berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, jam 7 malam Rabu.
Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!