Bunuh adik ipar: Banduan akhir terlepas tali gantung

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang banduan akhir terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Khamis menggantikan hukuman mati dengan penjara 32 tahun dengan 12 sebatan kerana membunuh adik ipar yang juga kekasihnya di sebuah hotel pada 2014.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan bekas pekerja industri makanan dan minuman, N Kumaresan, 36, untuk menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, turut memerintahkan Kumaresan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 10 Jun 2014.

Pada 8 Februari 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman mati terhadap lelaki itu yang didapati bersalah membunuh A Sivasanggari, 22, di Petaling Jaya antara 9 malam 9 Jun 2014 dan 10 pagi keesokan harinya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2019 dan 2020.

Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail berkata Kumaresan terlibat dalam hubungan cinta tiga segi dengan Sivasanggari yang telah mendesak tertuduh menceraikan isterinya dan memohon agar lelaki itu diberikan peluang kedua agar dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula memohon hukuman penjara di antara 34 dan 36 tahun kerana Sivasanggari telah dicekik dan berdasarkan keterangan ahli patologi, tulang hyoid di leher mangsa patah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!