PRK Nenggiri: Polis kesan ada cubaan pengaruh pengundi tidak keluar undi
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengambil serius cubaan untuk mempengaruhi individu lain untuk tidak menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini pihaknya mengesan kewujudan perkara itu.
"Pada masa sama, kita juga akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan menakut-nakutkan individu dan menimbulkan provokasi melampau.
"Kita bimbang tindakan itu boleh mengganggu gugat sistem demokrasi dan ketenteraman awam," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau peraturan itu termaktub di dalam seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu Kesalahan Mengembangkan Perasaan Jahat atau Permusuhan.
Katanya, polis memberi jamin perjalanan PRK Nenggiri berada pada tahap terbaik.
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya akan memastikan pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan selamat, tanpa ragu-ragu dan bebas membuat pilihan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana individu.
"Selain itu, kita memuji rata-rata parti atau individu yang menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi kehendak-kehendak pilihan raya," katanya.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!