Dua juruterbang maut, jet pejuang bertembung di udara
PARIS - Dua juruterbang Perancis maut apabila jet pejuang dikendalikan mereka bertembung di udara di timur Perancis, kata tentera udara dalam satu hantaran di X, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kedua-dua jet pejuang Rafale itu sedang dalam penerbangan pulang daripada misi di Jerman apabila mereka bertembung berhampiran Colombey-les-Belles, berhampiran Bandar Nancy, menurut hantaran itu pada Rabu.
Menurut hantaran itu, seorang lagi juruterbang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua juruterbang itu.
Pesawat-pesawat itu ditempatkan di Saint-Dizier, di timur Perancis.
Tiada butiran lanjut diberikan mengenai punca nahas itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!