Hasrat KLFA kekal kerjasama erat bersama DBKL, Maimunah

Maimunah.
Maimunah.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini diterajui Datuk Bandar baharu, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Naib Presiden KLFA merangkap Pengarah Kuala Lumpur United, Syed Yazid Syed Omar berkata, hubungan baik tersebut penting bagi memacu ekosistem sukan di ibu kota yang bukan sahaja melibatkan bola sepak, tetapi turut meliputi sukan lain.

Malah beliau menjelaskan, pihaknya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan baharu itu pada bulan ini selepas berakhir Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 pada 24 Ogos ini.

"Tahniah buat Datuk Seri (Maimunah) di atas pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu. KLFA berhasrat untuk terus mengekalkan hubungan akrab dengan DBKL bagi memajukan bola sepak di ibu kota dan negara.

"Saya serta barisan kepimpinan KLFA akan mengadakan kunjungan hormat dan mungkin akhir bulan ini selepas tamat Sukma di Sarawak," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Maimunah yang memulakan tugas pada Khamis menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Hubungan akrab KLFA dan DBKL sudah terjalin sejak sekian lama menerusi penggunaan fasiliti sukan, pembangunan pemain muda dan penajaan.

Syed Yazid yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menghargai jasa dan sumbangan Kamarulzaman menerusi kerjasama erat yang dijalinkan ketika beliau menerajui DBKL.

Artikel Berkaitan:

"Setinggi penghargaan buat Datuk Seri (Kamarulzaman) di atas usahasama dengan KLFA selama ini. Moga hubungan ini terus berkekalan," katanya.

Maimunah yang juga datuk bandar wanita pertama di negara ini merupakan individu bertanggungjawab mengembalikan kedudukan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan dengan pengalaman 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Beliau yang berusia 63 tahun pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Bandar Masa Depan dan Pengerusi Bersama Gabungan 2030 Kerajaan tempatan dan kini beliau dilantik sebagai penasihat kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!