Sukma 2024: Berbasikal terus jadi lubuk emas Terengganu
LEBUH Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini terus menjadi ‘lubuk emas’ buat skuad berbasikal Terengganu apabila menambah dua lagi pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024 pada Khamis.
Dua emas itu diperoleh daripada Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi dalam kategori individu yang pada masa sama membantu acara berpasukan.
Kontinjen Terengganu menambah satu lagi koleksi pingat emas menerusi Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan dalam acara tenpin boling lelaki selepas melakukan 1,375 jatuhan pin di Megalanes Sarawak, manakala wakil tuan rumah Nur Hazirah Ramli mengungguli kategori wanita selepas mencatatkan 1,261 jatuhan pin.
Pencapaian itu sekali gus menyaksikan Terengganu melonjak ke kedudukan teratas carta kutipan pingat SUKMA dengan empat pingat emas setakat malam ini, diikuti rapat oleh Sarawak dan Melaka yang masing-masing meraih tiga emas.
Dewan Wushu SSC di sini membawa tuah kepada Brunei apabila mencipta kenangan manis di Bumi Kenyalang menerusi atlet wushu Walid Lachkar yang menghadiahkan emas pertama negara itu di Sukma 2024.
-- LAGI
SUKMA-RANGKUMAN 2 (AKHIR) KUCHING
Beliau mengetepikan 18 peserta lain dengan meraih mata tertinggi 9.613 dalam acara daoshu sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2014 di Perlis.
Negeri Sembilan turut meraih pingat emas pertama menerusi Wong Zi Hong dalam acara taijiquan lelaki selepas mengumpul 9.596 mata biarpun dalam kondisi kurang sihat.
Atlet wushu Selangor Mandy Cebelle Chen menambah koleksi emasnya dengan mengungguli final taijiquan wanita sekali gus meletakkan beliau sebaris dengan Muhamad Iqbal Daniel dan Kee Zhe Yie yang turut mempunyai dua pingat emas.
Esok, secara keseluruhan sebanyak 27 pingat emas bakal ditawarkan menerusi wushu, taekwondo, berbasikal, boling padang dan tenpin boling.
-- BERNAMA
TAG: SUKMA, Sarawak, wushu, Brunei, Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!