Peningkatan kemasukan warga China membimbangkan - NGO

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Faizzuddin)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Faizzuddin)
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan mendadak warga China di Kuala Lumpur bakal memperlihatkan kesan yang amat ketara terhadap isu miskin bandar, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Sekretariat Belia Gerakan Pembela Ummah, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, semua pihak termasuk pembuat dasar dalam kerajaan, pelaksana dasar, ahli legislatif, penggerak badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat perlu memandang serius isu ini kerana impaknya pada masa hadapan amat membimbangkan.

"Kemasukan lebih ramai warga China akan meningkatkan lagi kos pembelian rumah, kenaikan mendadak harga hartanah, peningkatan kadar kepadatan penduduk, persaingan dasyat dalam mencari peluang pekerjaan dan akses yang semakin mencabar terhadap perkhidmatan sosial.

"Selain itu, kempulan tertentu daripada China yang mempunyai modal besar dan penguasaan perniagaan ke atas pasaran tertentu juga akan mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi dalam negara serta membawa jurang ekonomi antara kaum yang semakin parah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Financial Time yang menyatakan, dalam tempoh tiga tahun kebelakang ini jumlah warga China yang menetap di Malaysia telah meningkat hampir dua kali ganda.

Pengarah di Institut Kajian China di Universiti Malaya, Ngeow Chow Bing mendedahkan, kini terdapat 150,000 hingga 200,000 warga China di Malaysia, berbanding kira-kira 82,000 pada 2022.

Pada Mac 2024 lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, rakyat China adalah pemegang pas aktif Malaysia My Second Home (MM2H) tertinggi, iaitu seramai 24,765 orang manakala diikuti dengan warga Taiwan sebanyak 1,000 lebih.

Dalam pada itu, media turut melaporkan, semakin ramai warga China berminat untuk membeli rumah mewah di Malaysia, khususnya di kawasan utama Kuala Lumpur seperti Bukit Damansara, Bangsar, dan Kenny Hills pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Warga China yang ingin membeli hartanah di Malaysia meningkat dengan amat ketara iaitu sebanyak 42 peratus pada suku pertama 2024 berbanding suku sebelumnya.

Selain itu, pada tahun 2022, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaporkan lebih 1.2 juta pelancong China tidak keluar Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 dengan segelintir daripadanya direkodkan berkahwin dengan warga tempatan.

Susulan daripada laporan tersebut, Muhammad Faizzudin mempersoalkan hala tuju negara dalam situasi berkenaan, sama ada peningkatan warga asing khususnya rakyat China akan dibiarkan berlarutan sehingga tiada lagi ruang untuk berpatah balik atau kerajaan bakal memperbaiki keadaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!