Kerajaan disaran laksana kempen kesedaran, didik tata susila

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Jamaludin
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Jamaludin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan supaya melaksanakan kempen kesedaran dan mendidik tata susila masyarakat berhubung isu pencerobohan gerabak wanita dalam pengangkutan perkhidmatan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu Badan Bukan Kerajaan Islam Malaysia (ACCIN), Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, perkara itu lebih berkesan berbanding merangka undang-undang baharu termasuk mempertimbangkan hukuman denda terhadap lelaki yang berbuat demikian.

“Terlalu banyak undang-undang boleh merumitkan lagi terutamanya keberkesanan penguatkuasaan sedia ada.

“Melalui kempen mendidik tata susila, kita boleh membentuk rasa hormat-menghormati dan bertimbang rasa (dengan wanita ketika menaiki pengangkutan awam).

“Kalau majoriti masyarakat bersikap hormat, orang yang degil pun lama-kelamaan akan merasa malu,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya sedang merangka undang-undang termasuk mempertimbangkan hukuman denda terhadap lelaki yang menceroboh gerabak wanita.

Anthony mengulas mengenai insiden lelaki sengaja memasuki koc wanita yang ditawarkan oleh komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT) serta Transit Aliran Ringan (LRT).

Dalam pada itu, Mohd Jamaludin berkata, merangka undang-undang baharu memerlukan tenaga kerja bidang penguat kuasa dan kos tertentu yang boleh merumitkan operasi perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sudah menjadi kebiasaan untuk lelaki dan wanita menaiki gerabak yang sama dalam pengangkutan awam selama ini.

“Gerabak khusus wanita adalah sesuatu yang baik untuk keselamatan dan keselesaan wanita.

“Islam juga menggalakkan konsep ini untuk sebab-sebab tersebut. Mungkin boleh digunakan akta-akta atau prosedur sedia ada sahaja.

“Pegawai kereta api, bas atau tempat parkir boleh memastikan pengasingan ini dihormati. Kepada yang degil, maka pegawai keselamatan boleh main peranan,” ujarnya.

Mengulas mengenai situasi wanita berada di gerabak lelaki sedangkan gerabak kaum hawa masih lagi kosong tanpa sebab, Mohd Jamaludin berkata, perkara tersebut tidak menjadi isu dalam kalangan masyarakat.

“Ia kerana penumpang wanita boleh menaiki gerabak khusus wanita dan umum yang mana terbuka kepada semua,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!