Remaja terpantas dunia sasar pecah rekod sendiri

Yunos (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian bersama bapa kepada Muhammad Azeem, Mohd Fahmi Tajudin (dua dari kiri) pada Majlis Pelantikan Ikon Pelajar BSN hari ini.
Yunos (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian bersama bapa kepada Muhammad Azeem, Mohd Fahmi Tajudin (dua dari kiri) pada Majlis Pelantikan Ikon Pelajar BSN hari ini.
A
A
A

REMAJA terpantas di dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 16, mensasarkan untuk memperbaharui rekod miliknya pada kejohanan antarabangsa tahun ini.

Atlet pecut muda negara itu berhasrat untuk meleburkan rekodnya sendiri setelah sedia menjalani latihan di bawah kendalian jurulatihnya, Muhamad Hazuan Zainal Abidin dan Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah sejak tahun lalu.

“Acara terdekat adalah Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Jakarta, Indonesia Mac ini.

"Persediaan saya sudah bermula dari tahun lepas dan sekarang ini saya dalam proses memperbaiki dari segi teknik. Jadi, saya akan bersedia beraksi termasuk lima atau enam acara pertingkat antarabangsa sehingga November nanti," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelantikan Ikon Pelajar Bank Simpanan Nasional (BSN) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di sini hari ini.

Menurutnya, beliau turut menyimpan impian untuk melayakkan diri pada Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sukan Olimpik 2024 adalah waktu yang sesuai dan saya lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran serta bersaing bersama atlet-atlet lain.

"Saya dan jurulatih akan memperbaiki prestasi dan akan cuba buat yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Muhammad Azeem turut terpilih sebagai Ikon Pelajar BSN, menjadi pelajar contoh dalam kalangan remaja untuk lebih cemerlang dalam sukan dan akademik.

Artikel Berkaitan:

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, pelantikan itu merupakan sebuah tajaan untuk membiayai pelajaran selama dua tahun serta perlindungan takaful BSN Fitrah.

"Ikon ini julung kali diadakan dan Azeem menunjukkan prestasi cemerlang termasuk peringkat dunia. Ia menarik BSN untuk membantu berjaya termasuk dalam akademik.

"Selain itu, ia dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain. Tajaan ini akan dilanjutkan setelah melihat prestasi yang akan ditunjukkan," katanya.

Tahun lalu, Muhammad Azeem telah mencatatkan rekod baharu dengan merakam 10.70s bagi acara 100 meter dan 21.15s (200m) pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Thailand, di Khong Kae, Bangkok.

Kepantasan itu menyaksikan Muhammad Azeem memperbaharui rekod peribadi miliknya, 21.24 saat (200m) yang dicipta dalam kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor, April tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!