Suami bunuh isteri kerana cemburu, biar mayat seminggu atas tilam
JAKARTA - Gara-gara cemburu, seorang suami dari Kampung Setiamanah, Jawa Barat, Indonesia bertindak membunuh isterinya.
Media tempatan melaporkan insiden itu berlaku di rumah mereka pada 6 Ogos lalu.
Suspek yang berusia 24 tahun dikenali sebagai Sahir membunuh isterinya Zakilah Indri Winata, 21, dengan cara mencekik mangsa sehingga meninggal dunia.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Cimahi, AKBP Tri Suhartanto, pada Khamis.
"Suspek hilang pertimbangan apabila terlihat notifikasi mesra daripada lelaki lain di telefon bimbit isterinya.
"Mereka kemudian bertengkar, sehinggalah suspek tidak dapat mengawal emosinya lalu mencekik isterinya sehingga mati," katanya kepada pemberita, lapor Antara.
Suspek kemudiannya membungkus mangsa dengan plastik dan kemudiannya membiarkan mayat mangsa di atas tilam selama tujuh hari, sebelum ditemui oleh polis pada 13 Ogos lalu.
Berdasarkan hasil pemeriksaan polis, Sahir merancang untuk membuang mayat isterinya, bagaimanapun rencananya itu terbantut selepas jiran terbau bau busuk dari rumahnya.
"Suspek merancang untuk membuang mayat itu, tetapi sebelum itu berlaku jirannya sudah membuat laporan kepada kami sehingga polis berjaya menemui mayat isterinya," tambah Suhartanto.
Suspek kini sudah ditahan, dia bakal berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun menurut Undang-Undang Indonesia, Fasal 338 KUHP Mengenai Pembunuhan - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!