Bimbang kes orang hilang berakhir tragik
INSIDEN melibatkan orang hilang di negara kita dilihat semakin menjadi-jadi serta membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
Hampir setiap minggu rakyat Malaysia dihidangkan dengan berita orang hilang, sama ada di media cetak atau media sosial.
Setakat ini, beberapa kes orang hilang ini berjaya diselesaikan dan ditemui semula dalam keadaan selamat. Misalnya, kehilangan Albertine Leo Jia Hui, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dipercayai di Iskandar Puteri, Johor pada Julai lalu.
Kanak-kanak itu ditemui dengan selamat di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor pada 23 Julai lalu, sekali gus melegakan seluruh rakyat Malaysia.
Namun, yang menjadi kebimbangan ialah kes orang hilang yang berakhir dengan tragedi menyayat hati.
Terbaharu, misteri kehilangan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, berakhir tragik apabila mayat tidak sempurna ditemui di tepi jalan berhampiran Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember lalu disahkan milik wanita tersebut.
Ia berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan.
Sebelum itu, kehilangan seorang jurutera, Muhammad Hamizan Ramli, 33, sejak 19 Mei lalu turut berakhir dengan tragik apabila mangsa ditemukan meninggal dunia dalam kereta miliknya sendiri di sekitar Taman Sentosa, Johor Bahru pada 5 Jun lalu.
Selain itu, kehilangan seorang ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella, 32, sejak 14 Disember lalu yang berakhir tragik susulan penemuan rangka manusia tidak sempurna di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat. Ujian DNA dilakukan didapati sepadan dengan keluarga mangsa.
Juga satu lagi misteri orang hilang melibatkan Muhammad Akmal Hakimi Ishak, 20, seorang pelajar dari Taman Makmur, Kluang yang hilang di Pulau Mawar, Mersing pada 3 Februari 2023.
Itu hanya sebahagian peristiwa orang hilang yang dipaparkan di media massa sebelum ini. Sehingga artikel ini ditulis, insiden orang hilang masih terus berlaku di negara kita.
Malah, mungkin ada lagi kes-kes orang hilang ini yang masih belum dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Itu belum lagi termasuk kes orang hilang yang sebenarnya telah ‘dilarikan’ ke negara jiran untuk dipaksa bekerja sebagai scammer.
Melihat kepada situasi itu, timbul persoalan mengapa insiden orang hilang ini seolah-olah berantaian. Dari satu kes, akan muncul satu lagi kes sama.
Berdasarkan kepada beberapa laporan sebelum ini, ada juga kes ‘orang hilang’ sebenarnya tidak melibatkan kes jenayah, sebaliknya hanya keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan bagi melepaskan stres tetapi tidak memaklumkan kepada keluarga.
Mungkin pada mulanya mereka hanya berjalan-jalan untuk bersuka ria ke sana ke mari tanpa tujuan, sehingga tersesat ke tempat lain dan lambat pulang ke rumah.
Ada juga kes orang hilang sebenarnya merajuk dengan ibu bapa, lalu mengambil keputusan bermalam di rumah kawan-kawan tanpa memaklumkan kepada keluarga. Ibu bapa kemudian membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya itu.
Namun begitu, dalam kes-kes orang hilang yang berakhir dengan kematian, perkara tersebut amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.
Biasanya, kes-kes tersebut melibatkan pertemuan mangsa dengan individu yang dikenalinya. Mungkin disebabkan berlaku pertengkaran atau perselisihan faham sesama mereka, salah seorang daripadanya sanggup bertindak kejam sehingga melibatkan kehilangan nyawa.
Oleh kerana itu, sebaiknya setiap orang sentiasa mengambil berat terhadap ahli keluarga masing-masing. Bagi ibu bapa, sentiasa perhatikan dan ambil tahu pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam situasi berbahaya.
Sebolehnya juga, jangan biarkan ahli keluarga kita keluar ke mana-mana secara sendirian. Kita tidak tahu, mungkin disebabkan sikap ambil ringan kita akan menjadi permulaan kepada suatu tragedi yang memberi kesan sepanjang hayat.
* Shahrizal Ahmad Zaini ialah Wartawan Sinar Harian Biro Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!